BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 17, 2010

SeRuan buat si Belangkas



Mac 24, 2007 • Dikirim dalam Uncategorized
Penulis: Fatimah Syarha Mohd Noordin
fs_loveislam@ yahoo.com

Menyorot dahsyatnya mitos cinta meracuni pemikiran generasi muda hari ini,
pelbagai maksiat menular di sana-sini. Pemuda meratah dara sesuka hati. Gadis
hilang harga diri. Anak pungut merata-riti. Ah, sekotor inikah cinta anak muda?
Tidak! Cinta itu tidak kotor bahkan suci sekudus embun pagi. Tangan manusialah
yang mengotorinya.


Aduhai pemuda-pemudi yang sedang hangat bercinta!

Bukankah Allah menyediakan jalan halal buat menyuburkan cinta yang sedang
mekar antaramu dengan si dia? Kenapa tidak nikah saja? Boleh khalwat lama-lama.
“Ingat nikah tu senang?!” Mungkin ini persoalannya. Mungkin ini yang
membelenggu pemikiran anak muda yang sedang bercinta. Samada jawapannya senang
atau susah, setiap pasangan yang sudah jatuh hati perlu ada niat untuk memilih
jalan halal lagi diberkati ini. Niat suci tersebut boleh mengundang limpahan
keberkatan dari sisi-Nya. Niat yang bersih berperanan mengawal haluan cinta agar
terhindar dari lembah zina terkutuk dan segala perkara yang menghampirinya. Apa
yang dinamakan cinta lelaki dan perempuan asing hanya boleh dinikmati selepas
berumah-tangga. Ingat tu!

Kunasihatkan diriku jua dirimu hai muda-mudi,

Dalam urusan jodoh, apapun keputusan buatlah sebagaimana yang dianjurkan oleh
syarak dengan jalan istikharah dan musyawarah (berbincang) . Andai di sana
nampak keserasian, usah terlalu fikirkan masalah, berfikirlah dengan optimis.
Ambil langkah yang diizinkan Allah seterusnya iaitu dengan berkhitbah
(bertunang) dan saling setia pada janji syara’ yang di bina. Awas! Hindari
segala perkara yang menghampiri zina lagi tidak diredhai-Nya.
Bagi gadis suci yang belum berpunya, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih
mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.
Ingat, urusan jodoh bukan ditentukan oleh lelaki, ibubapa atau sesiapa, tetapi
ianya urusan Allah s.w.t. Dah sedia termaktub di loh mahfuz. Berkait usaha, anda
juga boleh memulakannya jika punyai keberanian yang tinggi. Manusia hanya mampu
berusaha tapi tak berdaya menentukan apa-apa tanpa izin-Nya. Oleh itu, jangan
risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu
buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita dan Dia pasti menguji anda
sedikit masa lagi. Bersiap-sedialah. Anda pasti dijodohkan. Jika tidak di dunia
nun di syurga.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, tabahlah dan teruskan berusaha.
Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu
jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran.
Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan
ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi
berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!

“Apa yang memberi faedah kepada orang beriman selepas taqwa kepada Allah,
kebaikan buatnya ialah isteri yang solehah.” (HR Thobrani).
Khusus buat pemuda-pemudi yang sudah jatuh cinta,
Dengarilah kalamku seterusnya istimewa buatmu. Yang masih tak meletakkan nikah
sebagai prioriti sekarang, teruskan belajar atau berkerja atau mengejar
cita-cita. Penulis ingin berbicara dengan muda-mudi yang sedang lemas dalam
lautan cinta.

Seringkali bila ditanya pada syabab (pemuda) tentang kenapa tak segera
berzaujah (menikah), mereka amat risaukan masih tak mempunyai pekerjaan tetap.
Sedangkan ada hadis yang menyuruh agar menyegerakan nikah bagi yang sudah
bertemu calonnya. Syabab selalunya bimbang jika tak mampu memberi nafkah kepada
bidadarinya dan seluruh isi rumahnya. Faktor ekonomi amatlah membebankan benak
mereka. Betul kan ya syabab?

Kerisauan ini lumrah. Ia lahir dari sifat bertanggung- jawab. Ia juga lahir
dari kesedaran bahawa perkahwinan itu bukan suka-suka tapi penuh tanggung-jawab.
Sesetengah orang membuat perhitungan hidup secara matematik, contohnya jika
seorang memerlukan biaya RM1000 maka dua orang memerlukan RM2000. Hidup
sendiripun sukar dibiaya apatah lagi hidup orang lain? Faktor ini membuatkan
syabab takut berkahwin. Gambaran seperti ini semakin memberat apabila hidup
dikuasai berhala bernama materialisme. Apatah lagi masyarakat terlalu meletakkan
ukuran materialisme dalam menjalani kehidupan.

Al-Quran mengecam keyakinan materialisme seperti ini dan menyuruh kita
berfikiran optimis. Lihatlah Allah memberi berita gembira berupa kecukupan
kehidupan bagi pasangan yang berkahwin:


“Dan nikahkanlah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang
layak nikah di antara hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin,
Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya, dan Allah Maha Luas
pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (An-Nur:32). Nah, Allah telahpun memberi
jaminan! Jaminan siapa yang lebih patut dipercayai?

Umar Al-Khattab, sahabat agung, pernah berkata sebagaimana dikutip dari
al-Qurtubhi:

“Saya sangat takjub dan hairan dengan orang-orang yang tidak mahu menikah
kerana takut miskin, dan tidak mahu mencari kekayaan melalui perkahwinan,
padahal Allah telah menjaminnya.”

Nabi Muhammad s.a.w. juga memberi gambaran yang praktikal. Dalam sebuah
riwayat dari Abu Hurairah r.a.:
“Makanan dua orang dapat mencukupi tiga orang, dan makanan tiga orang dapat
mencukupi empat orang.” (HR Bukhori dan Muslim).

Tidak hairanlah Ibnu Mas’ud pernah berkata,
“Carilah kekayaan dan rezeki melalui pernikahan,” kemudian beliau membaca
firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 32. Apalagi, sama-sama hapuskan berhala
materialisme dalam hati dan fikiran.

Buat kaum Hawa, yakin dan percayalah pada insan yang telah ditunjukkan Allah
dalam istikharahmu walau apapun keadaannya pada masa ini, asalkan baik agamanya.
Samada dia masih belajar atau masih bertukar-tukar kerja, percayalah padanya.

Buat syabab, rezeki Allah amat luas, jangan dirisaukan sangat. Walaupun
sesuatu pekerjaan itu tidak terpandang di sisi masyarakat contohnya bekerja
sendiri namun terakam mulia dalam hadis Rasulullah s.a.w. Beliau bersabda:
“Pekerjaan yang terbaik adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan
semua penjual beli yang baik.” (HR Ahmad, Baihaqi dan lain-lain).

Jika kerisauan untuk menikah disebabkan faktor orang tua, berbincanglah dengan
mereka penuh hikmah. Hati mereka milik Allah, dipegang Allah dan boleh
dilunakkan oleh Allah dalam sekelip mata. Ianya menuntut doa, kesungguhan dan
keberanian. Orang tua akan cair jua dengan kebaikan kerana merekalah insan yang
paling inginkan kebaikan untuk seorang anak. Percayalah!

Jika terubat segala kerisauan dan tertanam kukuh sebuah keyakinan maka
laksanakanlah khitbah (pertunangan) . Perlaksanaan khitbah dalam Islam ada
pelbagai cara sebagaimana dicontohkan dalam sirah antaranya,

1) Khitbah melalui keluarga si gadis
2) Khitbah dengan menyampaikan secara langsung kepada si gadis bukan walinya
3) Khitbah si gadis kepada lelaki soleh melalui orang tua atau kerabat atau
dirinya sendiri.
4) Khitbah secara sindiran semasa iddah.

Selama tempoh khitbah, berkongsilah apa yang dirasakan mustahak dan tidak
terlalu kerap berhubung untuk menjaga kesucian ikatan. Tempoh itu sesungguhnya
amat menguji. Pastikan ikatan itu terjaga dari kelalaian dan segala perbuatan
yang menghampiri zina.
Laksanakanlah ikatan dengan mana yang paling memudahkan lelaki. Aisyah r.a.
menjelaskan,
“Sesungguhnya di antara keberkatan wanita ialah kemudahan peminangannya dan
kemudahan maharnya.” (HR. Ahmad).
Oh, kaum Hawa! Tidakkah kamu mahu menjadi
wanita yang berkat? Oh, mudah kahwin itu rupanya jika ikut agama!
Apa tunggu lagi wahai yang dah berpunya? Pilihlah untuk berkahwin. Takutlah
pada Allah melebihi takutmu pada segala persoalan di benakmu. Yakinlah pada
Allah. Berdoalah pada-Nya agar dipermudahkan nikah buatmu.

“Wahai para pemuda, siapa yang mampu, berkahwinlah! Sesungguhnya ia
menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Siapa yang tidak mampu maka
berpuasalah.” (HR Bukhori).

0 comments: